FiQ, not a celebrity.. so, i need more friend that can help me and always with me in every situation. i like to meet a new frenz.. life is just like wheel... up and down its up to us....

Saturday, March 28, 2009

Nasib bintang AF....

Ke manakah hala tuju artis yang bernaung di bawah Maestro Talent & Management (Maestro) diketuai Ketua Pegawai Operasi, Freddie Fernandez, apabila khabar angin bertiup kencang mengatakan syarikat pengurusan itu akan ditutup.

Syarikat itu menguruskan bakat baru yang dilahirkan menerusi program realiti Akademi Fantasia terbitan Astro.

Freddie ketika dihubungi mengesahkan keputusan cadangan menutup Maestro tetapi enggan mengulas lanjut sehingga Pengarah Hiburan Astro, Zainir Amirullah membuat pengumuman mengenainya.

“Setakat ini Zainir belum membuat sebarang kenyataan mengenainya dan saya tidak dapat menjelaskan kedudukan sebenar perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun usaha mendapatkan penjelasan Zainir gagal apabila dia tidak dapat dihubungi.

Menurut sumber dalaman, syarikat itu sudah menamatkan perkhidmatan kakitangan kontraknya serta-merta. . Manakala nasib kakitangan tetap syarikat itu akan ditentukan pada mesyuarat yang akan diadakan Isnin ini.

Harian Metro difahamkan Rabu lalu Freddie berbincang dengan lima artis yang akan dikekalkan iaitu Asmawi Ani (Mawi), Farah Diana Anuar (Farah), Stracie Angie Anam (Stacy) , Nor Sharmila Jirin (Mila) dan Gadaffi Ismail Sabri (Dafi). Melihatkan senarai lima artis itu, mereka antara produk AF yang berjaya mencipta nama dalam persada seni.

Dalam ramai bintang yang dilahirkan program realiti paling popular itu, Mawi yang kini sudah berkahwin dengan Nor’Ashikin Rahmat atau Ekin, antara bekas pelajar AF paling berjaya dan popular.

Aura penyanyi kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu berjaya mencipta sejarah tersendiri kepada pemuda itu apabila album sulungnya dijual melebih 100,000 unit di seluruh negara. Dia juga menerima anugerah Bintang Paling Popular dua kali pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2006/2007) .

Farah pula antara artis wanita kelahiran AF yang berjaya mengekalkan popularitinya sehingga kini. Mila dan Stacy ‘generasi baru’ Maestro yang mula menonjol.

Mereka berlima akan berada di bawah pengurusan Astro Entertaiment. Sementara Marsha Milan Londoh (Marsha) pula dilamar menjadi artis Wake The Baby milik Ajai atau Mohd Faizal Maas. Artis lain yang turut bernaung di bawah syarikat pengurusan itu khabarnya terpaksa membawa haluan sendiri.

Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) baru bersiaran selama dua minggu. Buat sementara waktu ini, peserta pertama AF7 yang tersingkir pada konsert mingguan kedua minggu lalu, Nas Adila Mohd akan ‘diletakkan’ di bawah pengawasan Astro Entertaiment. Begitu juga dengan pelajar AF7 lain yang bakal tersingkir pada minggu berikutnya.

Tambah sumber itu lagi, khabar angin penutupan Maestro sudah tersebar luas dalam blog Rabu lalu dan sampai ke pengetahuan media pagi semalam. Kakitangan syarikat itu yang sudah mengetahui berita itu mula mengemaskan barang untuk keluar daripada pejabat itu.

Artikel dr: Harian Metro (28 Mac 2009)